Karnival Bola Sepak 1MCC U14 Zon Negeri Sembilan
Assalammualaikum.
Baru seminggu sudah Karnival 1MCC Bawah 14 Zon Negeri Sembilan sampai ke penghujungnya. Untuk karnival kali ini, saya berkesempatan untuk membimbing pasukan Panchor United FC sebagai Ketua Jurulatih sambil di bantu Encik Amir sebagai Pengurus Pasukan, Coach Akmal Azri, Pembantu Jurulatih dan Coach Hazim sebagai Fisio.
Untuk pengetahuan, pasukan Panchor United FC ini bukanlah satu pasukan yang mendapat penajaan dari pihak luar sebaliknya segala urusan dan perbelanjaan dari pasukan ini menggunakan dana sendiri. Saya sebagai jurulatih berbangga kerana dapat membangunkan pasukan yang tidak mendapat apa apa penajaan dan sumbangan menjadi pasukan yang semakin dikenali dan disegani khususnya di peringkat Negeri Sembilan.
Karnival ni bermain dalam format liga tetapi tidak ada home/away. Semua pasukan iaitu 10 pasukan akan bertemu dengan pasukan lain sekali sahaja dan dari situ mata akan dikumpul seterusnya menentukan kedudukan di dalam liga. Juara tidak ditentukan dari juara liga tetapi ia akan dipilih dari pasukan 4 teratas pada akhir perlawanan liga dan 4 pasukan tersebut akan menentang dalam peringkat separuh akhir dan seterusnya perlawanan akhir.
Pasukan kami berjaya ke peringkat separuh akhir tetapi terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-3 kejohanan apabila tewas di tangan Juara 1MCC Zon Negeri Sembilan, NS Affimaz, 0-1. NS Affimaz menjadi juara apabila menewaskan Fireball Elite FC di final.
Sebagai persiapan untuk ke karnival ini, saya telah membuat training selama sebulan setengah sebelum karnival bermula bagi membiasakan pemain-pemain dengan taktikal dan formasi yang diterapkan disamping mewujudkan persefahaman antara mereka. Namun, kerana terikat dengan komitmen kerja dan pemain pemain yang bersekolah, saya hanya memperuntukkan hari Sabtu dan Ahad untuk sesi latihan.
Namun dengan kerjasama sepasukan, Coach Hazim banyak membantu untuk menguruskan sesi latihan para pemain yang tergendala pada setiap minggu.
Kaedah saya, Coach Azri dan Coach Hazim mendidik pemain-pemain ialah dengan cara membangunkan modal insan dan work ethics. Ya! Bagi kami, itu adalah perkara yang paling utama untuk mendidik mereka kerana kami mengambil faktor umur di samping untuk pembangunan jati diri para pemain.
Bagi kami, pembangunan modal insan dan work ethics lagi penting dari teknik. Saya bercakap begini kerana saya mengambil faktor umur. Namun demikian, kami para jurulatih sesekali tidak pernah melupakan aspek teknikal kerana itu merupakan elemen penting dalam bola sepak.
Pada sebelah siang, Coach Hazim akan mengambil alih tugas untuk membuat latihan intensif untuk para pemain faham dengan corak permainan di samping mengekalkan stamina bagi menghadapi perlawanan seterusnya. Di sebelah malam pula, saya akan membuat perjumpaan dengan Coach Hazim untuk mendapatkan laporan kemajuan setiap pemain dan pada masa yang sama juga, kami akan membincangkan aspek taktikal sesama coach.
Pada hari perlawanan, saya dan para coaches akan memberi sedikit taklimat atau team talk kepada semua player. Team talk akan diberi pada sebelum perlawanan dan sesudah perlawan. Setiap perlawanan! Dari situ kita akan membuat post mortem apa yang perlu diperbaiki dan memberi jalan penyelesaian untuk perlawanan pada hari tersebut.
' Bukan senang nak jadi senang, dan bukan susah nak jadi susah '. Itu kata keramat diucapkan oleh lecturer saya dulu. Ini adalah pengalaman kali kedua saya menyertai karnival 1MCC ini dan sejujurnya ia banyak mengajar saya khususnya dalam aspek mendidik, pengurusan dan kejurulatihan amnya.
Setiap kejayaan yang datang mesti ada bantuan dari pihak lain. Dalam erti kata lain, untuk berjaya dalam bidang bola sepak, persefahaman, tidak kenal erti putus asa, passion dan bekerjasama adalah kunci utama kejayaan sesebuah pasukan. Ia tidak datang bergolek tetapi ia akan datang apabila ada usaha dilakukan.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada manager, Encik Amir, Coach Azri, Coach Hazim, para pemain dan semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pembinaan pasukan ni, terima kasih. Dan terima kasih juga pada pihak 1MCC kerana dapat menjayakan karnival ini dengan jayanya. Syabas!
Comments
Post a Comment